Tuesday, April 20, 2010

UKHUWWAH ISLAMIYYAH

SESUNGGUHNYA Ukhuwwah Islamiyyah atau persaudaraan Islam merupakan manifestasi daripada aqidah dan keimanan sebenar seseorang Muslim. Al-Syahid Hassan Al-Banna telah menyifatkan, "Ukhuwwah ialah ikatan hati dan jiwa yang diasaskan oleh aqidah. Di mana aqidah merupakan ikatan yang paling kukuh dan bernilai. Ia juga merupakan natijah keimanan, manakala perpecahan adalah sebahagian dari kekufuran."

Setiap Muslim perlulah memahami bahawa perpaduan dan kesatuan merupakan suatu kekuatan. Kesatuan tidak akan lahir tanpa kasih sayang. Darjat kasih sayang yang paling rendah ialah seseorang itu merasa senang dan tenteram terhadap saudaranya. Manakala darjat yang paling tinggi ialah seseorang itu mampu mengutamakan saudaranya melebihi dirinya sendiri. Sifat ini juga disebut "Ithar".
Ukhuwwah merupakan kurniaan Allah yang diberikan kepada hamba-hambanya yang ikhlas, penolong-penolongnya dan orang-orang yang membersihkan jiwa mereka untuk Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

"Dialah yang memperkuatkan kamu dengan pertolongan-Nya dan dengan para mukmin dan menyatukan hati-hati mereka. Sekiranya kamu belanjakan semua (kekayaan) yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatukannya. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Surah Al-Anfal: 62-63).

Ukhuwwah merupakan kekuatan iman seseorang. Ia melahirkan perasaan lemah lembut, kasih sayang, hormat menghormati serta saling percaya mempercayai di kalangan setiap mereka yang bertanggungjawab melaksanakan tuntutan aqidah. Ukhuwwah juga merupakan sifat yang berkait rapat dengan iman dan taqwa.

Tiada ukhuwwah tanpa iman dan tidak sempurna iman seseorang tanpa ukhuwwah. Begitu juga tidak ada persahabatan tanpa taqwa dan tiada taqwa tanpa persahabatan. Adapun tiada ukhuwwah tanpa iman dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya: "Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara." (Surah al-Hujurat: 10).

Dalam ayat yang lain Allah SWT menjelaskan bahawa tiada persahabatan tanpa taqwa. Maksudnya:

"Teman-teman rapat pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa." (Al-Zukhruf: 67).

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template