Monday, November 3, 2008

JIM seru umat Islam sumbang korban

TAMAN MELAWATI - Jamaah Islah Malaysia (JIM) menjemput Muslimin dan Muslimat menyertai program Qurban Eidul Adha dibumi umat Islam yang minoriti, miskin tertindas atau yang diuji pelbagai penderitaan serta kesengsaraan.

Program ke-10 JIM ini membuka ruang kepada umat Islam di Malaysia untuk beramal sambil menyumbang kepada umat Islam di tempat-tempat yang lebih memerlukan.

Program yang dinamakan "Rayuan Qurban 1429H" dengan bertemakan "Qurban Mulia Di Tempat Yang Lebih Memerlukan" mengenal pasti beberapa lokasi di sembilan negara untuk dilaksanakan ibadah tersebut.

Menurut pengarah program, Ibrahim Mohamad, umat Islam di Malaysia sememangnya prihatin terhadap isu umat Islam serantau dengan melihat usaha berpanjangan yang ditunjukkan dalam menghulurkan bantuan pelbagai segi khususnya pendermaan dan sukarelawan.

"Pada tahun ini, JIM sekali lagi menyeru umat Islam di Malaysia untuk menyertai program ini," jelas Ibrahim.

Tambahnya, pada tahun ini sahaja JIM menyasarkan 350 ekor haiwan bagi menyempurnakan ibadah korban, iaitu hampir dua kali ganda daripada tahun sebelumnya.

Katanya lagi, negara atau lokasi yang disasarkan ialah Kemboja, Selatan Thailand, Sudan, Mindanao, Sri Lanka, Palestin, Afghanistan, Indonesia dan Vietnam.

"Dalam waktu sama JIM juga tidak melupakan saudara baru di Malaysia" kata Ibrahim semasa ditemui Sinar Harian di Pejabat JIM, Pusat Bandar Melawati.

Ibrahim berkata lagi, antara mereka yang akan diagihkan daging korban ini adalah golongan fakir miskin, mangsa yang ditimpa bencana alam, umat Islam yang dipinggirkan dan yang berjihad fisabilillah.

"Sebilangan besar mereka ini adalah terdiri daripada anak-anak yatim, ibu tunggal, orang tua dan kurang upaya (OKU), " kata Ibrahim.

Bagi umat Islam yang ingin menyertai program pelaksanaan ibadah korban atau aqiqah, bolehlah menghubungi Sekretariat Rayuan Qurban dan Aqiqah JIM ditalian 03-41089669 atau 03-41053159, atau layari laman web http://www.qa.jim.org.my/

Sumber:
Sinar Harian
03 November 2008 (Isnin)
Muka surat S5

0 comments:

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template